Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

Ahmad Zahid cadang tempoh latihan PLKN dipanjangkan sehingga 90 atau 180 hari

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan tempoh latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dipanjangkan sekurang-kurangnya 90 hari atau 180 hari bagi memantapkan daya tahan pelatih, bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

"Saya merasakan tempoh 45 hari itu walaupun mencukupi setakat ini, kalau ia mahu lebih mantap, haruslah difikirkan supaya dapat digandakan kepada 90 hari sekurang-kurangnya atau kemudian 180 hari kerana daya tahan dalam kalangan wira muda ini mesti diterapkan melalui kurikulum Insya-ALLAH 4.0 atau 5.0 nanti," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 PLKN 3.0 di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa negara turut melaksanakan program khidmat negara dengan tempoh latihan sehingga setahun, yang dalam jangka panjang terbukti mampu membentuk generasi berdisiplin dan berdaya tahan tinggi.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan mengkaji kaedah memanfaatkan tenaga bekas pelatih PLKN, termasuk melibatkan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan ketika bencana atau apabila diperlukan.

"Sekarang memang telah ada, umpamanya di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara di peringkat pusat, negeri dan daerah. Tetapi oleh kerana mereka akan berada dalam bidang berbeza, mungkin data boleh dikumpulkan untuk kita memobilisasikan mereka. Namun, jika mereka bekerja, itu agak sukar sedikit, tetapi mungkin suatu kaedah dapat dicari untuk membawa mereka menjadi sukarelawan ketika bencana atau ketika tenaga mereka diperlukan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 269 pelatih dari seluruh negara yang menjalani latihan di Rejimen 503 Askar Wataniah, Kem PLKN Hutan Melintang, menamatkan latihan selepas mengikuti modul selama 45 hari.

PLKN 3.0 Siri 4/2026, iaitu siri terakhir bagi tahun ini, menyaksikan 1,899 wira muda negara menamatkan latihan di lapan pusat latihan di seluruh negara. Jumlah itu mewakili 102.10 peratus daripada sasaran pengambilan seramai 1,860 orang.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 1,149 orang ialah wira muda lelaki manakala 750 orang wira muda perempuan, yang mengikuti latihan di enam Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) serta dua Pusat Latihan RELA.

TopikAhmad Zahid HamidiPLKN 3.0Bagan DatukWira Muda Negara

Berita berkaitan