Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

Anwar: Ekonomi membangun perlu diberi peranan lebih besar membentuk masa depan Asia Pasifik

SHENZHEN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara yang lebih berjaya di rantau Asia Pasifik perlu bersedia berkongsi pengalaman melalui pelaburan serta memberi peluang kepada ekonomi membangun untuk turut serta dalam proses berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC di sini pada Rabu.

Menurut Anwar, dasar yang diperlukan bukan sahaja harus mempertingkat kerjasama dan perdagangan, malah turut menggalakkan inovasi serta teknologi baharu, termasuk dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan.

Beliau berkata seluruh rangka kerja pelbagai hala perlu berubah dan zaman penjajahan telah berlalu.

“Kita telah memasuki era baharu dengan lebih keyakinan dan ketegasan. Negara kecil dan ekonomi membangun mesti dilayan dengan lebih hormat, bermaruah dan sama rata,” katanya.

Anwar menambah, negara-negara terpencil di Afrika, Asia dan Amerika Latin turut memerlukan pengiktirafan sedemikian. “Negara-negara ini telah menderita begitu lama akibat penjajahan dan penindasan selama beberapa dekad, dan mereka memerlukan nafas baharu yang boleh dicapai melalui kerangka perdagangan dan pelaburan ini,” katanya.

Sebelum itu, Presiden China Xi Jinping merasmikan sidang kemuncak berkenaan dengan ikrar membuka pasaran China kepada lebih banyak barangan dan perkhidmatan global, di samping menegakkan sistem pelbagai hala dan kedaulatan undang-undang. Anwar menyifatkan komitmen itu bermakna bagi pemimpin perniagaan utama dan negara perdagangan seperti Malaysia.

Perdana Menteri berkata negara di rantau Asia Pasifik mesti mengekalkan kebebasan menentukan hala tuju masing-masing, manakala kemajuan teknologi harus berkhidmat kepada kemajuan manusia. Hasil integrasi ekonomi juga perlu dikongsi secara saksama dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa pertumbuhan dan pembangunan mesti berpihak kepada rakyat. Ia tidak sepatutnya membawa kepada ketidaksamaan yang lebih besar atau membenarkan sebarang bentuk pengabaian dan penindasan,” katanya.

Anwar berkata, merealisasikan wawasan itu menuntut keberanian politik, kepercayaan bersama dan komitmen baharu terhadap prinsip yang menyokong perjalanan Asia Pasifik selama ini. Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sukar dicapai tanpa penyertaan masyarakat, khususnya komuniti perniagaan.

Mengenai sektor perniagaan, beliau berkata mereka memainkan peranan penting dalam membantu dan bekerjasama membentuk masa depan Asia Pasifik serta kesannya kepada dunia. “Pelaburan yang dibuat, teknologi yang dibangunkan dan kerjasama yang dijalin akan menentukan landskap ekonomi rantau ini untuk tahun dan dekad akan datang,” katanya.

TopikAnwar IbrahimAPECShenzhenAsia Pasifik

Berita berkaitan