Anwar nafi derhaka kepada Agong, kerajaan ikut proses undang-undang isu tahanan rumah Najib

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau atau kerajaan bertindak menentang kehendak Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung isu pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pentadbirannya sentiasa menjunjung sistem raja berperlembagaan dan mematuhi proses undang-undang yang ditetapkan.
Menurut beliau, keputusan mengenai tahanan rumah bukan terletak di bawah bidang kuasanya sebagai Perdana Menteri, manakala tindakan Peguam Negara membawa perkara itu ke mahkamah selaras dengan tanggungjawab memelihara keluhuran undang-undang.
"Mereka kata saya menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya Perdana Menteri, petang tadi Yang di-Pertuan Agong telefon saya. Hubungan kami baik," katanya.
Anwar berkata, Seri Paduka melihat Najib sudah empat tahun dipenjarakan dan mahu beliau diberi tahanan rumah. "Itu bukan kuasa saya. Kuasa saya ditentukan undang-undang," katanya pada program "Ngopi Santai" sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Ayer Molek malam Khamis.
Beliau menjelaskan, Peguam Negara bertanggungjawab memastikan setiap keputusan dan tindakan kerajaan mematuhi undang-undang, termasuk memohon penjelasan dan merujuk perkara itu kepada mahkamah. "Peguam Negara ambil masa kerana beliau bertanggungjawab menegakkan undang-undang. Kita ikut proses dan terpaksa bawa ke mahkamah untuk menentukan bila ia boleh dilaksanakan. Itu sahaja," katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta. Najib, 73, sebelum ini berada di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Hukuman penjara 12 tahun Najib dikurangkan separuh pada Januari 2024 menerusi pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang turut mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta. Pada September 2026, Yang di-Pertuan Agong semasa memberi pengampunan bersyarat tambahan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028. UMNO kemudian membayar denda RM50 juta menggunakan dana yang dikutip menerusi tabung derma awam.
Dalam pada itu, Anwar berkata pengurusan negara yang bebas daripada ketirisan dan rasuah membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan terus kepada rakyat. Ini termasuk peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion bagi pelarasan gaji penjawat awam tahun ini serta bantuan persekolahan RM200 tahun depan.
Beliau turut berkata seorang menteri UMNO pernah menyatakan keraguan dalam mesyuarat Kabinet sama ada harga minyak boleh diturunkan sebegitu banyak dan sama ada kerajaan mempunyai dana, sebelum mengkritik kerajaan di Melaka. "Kami sudah menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter," katanya.
Anwar turut menyeru pengundi DUN Ayer Molek memberi peluang kepada calon PH, Muhammad Hakimin, berkhidmat sebagai wakil rakyat pada hari mengundi PRN Melaka ke-16 Sabtu ini.




