Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

BUDI95 lindungi rakyat daripada lonjakan harga minyak global, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR: Program Budi Madani RON95 (BUDI95) menjadi antara reformasi menonjol sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sekali gus melindungi rakyat daripada ketidaktentuan global, khususnya ketika konflik berterusan di Asia Barat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, dipetik sebagai berkata reformasi subsidi bahan api bersasar menerusi BUDI95 ialah langkah ke arah yang tepat dalam menghadapi konflik di Asia Barat, ketika kerajaan berusaha mengurus tekanan fiskal dengan lebih baik dan memastikan subsidi disalurkan secara lebih cekap.

Reformasi yang diperkenalkan pada 30 September 2025 itu membolehkan warganegara Malaysia membeli petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, tertakluk kepada kuota bulanan 300 liter yang disahkan melalui MyKad. Bukan warganegara dikenakan harga tanpa subsidi, iaitu RM3.72 seliter bagi tempoh 19 hingga 25 November.

Harga minyak global melonjak melebihi AS$100 setong pada awal tahun ini susulan konflik membabitkan Amerika Syarikat dan Iran, namun rakyat Malaysia terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kadar inflasi Malaysia kekal sekitar 1.8 peratus antara Januari dan Oktober tahun ini walaupun harga minyak mentah global meningkat ketara selepas tercetusnya perang di Iran pada 28 Februari.

"Ini menunjukkan subsidi bahan api bersasar berkesan dalam membendung kadar inflasi negara. Selain itu, peranan Petronas dalam mendapatkan bekalan bahan api turut penting dalam memastikan harga kekal stabil. Pada pandangan kami, gabungan kedua-dua faktor ini berkesan," katanya kepada Bernama.

Lebih 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah dijangka layak menerima subsidi itu, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mohd Afzanizam berkata penggunaan MyKad memastikan manfaat disalurkan kepada rakyat yang layak, sekali gus membantu membendung penyeludupan bahan api dan ketirisan subsidi.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027 Kementerian Kewangan yang dikeluarkan pada 9 Oktober, lebih 14.8 bilion liter RON95 dibeli pada harga bersubsidi, membabitkan subsidi RM18 bilion setakat akhir Ogos 2026.

Dalam tempoh sama, lebih 130 juta liter diesel digunakan menerusi mekanisme subsidi bersasar Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), membabitkan subsidi kira-kira RM295 juta. Program itu diperluas ke seluruh negara pada 1 Julai 2026 dan membolehkan penerima layak membeli diesel pada harga RM2.10 seliter, berbanding RM4.72 seliter tanpa subsidi bagi 19 hingga 25 November.

Mohd Afzanizam berkata kerajaan boleh memperhalusi lagi dasar subsidi bersasar melalui sistem MyKad, dengan kelayakan berdasarkan pendapatan berpotensi dipertimbangkan pada fasa seterusnya.

Dari sudut fiskal, BUDI95 dijangka menjana penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion dengan RM4 bilion. Rasionalisasi subsidi diesel bersasar pula pada mulanya dijangka menjimatkan RM4 bilion, namun anggaran terkini meletakkan jumlah itu antara RM6 bilion dengan RM7 bilion.

Menurut Mohd Afzanizam, penjimatan itu memberi ruang fiskal untuk perbelanjaan penting. Beliau memberi contoh peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion pada 2026, dan RM16 bilion pada 2027.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyifatkan Budi Madani sebagai antara kejayaan negara dalam melaksanakan subsidi bersasar yang bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah membendung ketirisan subsidi bahan api.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula berkata kerajaan bersedia menanggung peningkatan kos subsidi bahan api yang boleh mencecah RM45 bilion setahun susulan harga minyak mentah global yang meningkat antara AS$120 dengan AS$130 setong, berbanding memindahkan beban itu kepada rakyat.

Menurut beliau, jika harga bahan api dinaikkan mengikut kadar pasaran, rakyat terpaksa menanggung kos tambahan RM2 atau RM3, malah sekurang-kurangnya RM5 sehari. "Oleh itu, lebih baik kerajaan menanggung beban tersebut," katanya.

TopikBUDI95subsidi RON95Amir Hamzah AzizanAnwar Ibrahim

Foto: Collard / Wikimedia Commons (Attribution)

Berita berkaitan