Kampung Melayu Subang dilanda banjir kali keempat dalam 11 hari

SUBANG: Kampung Melayu Subang dilanda banjir kali keempat dalam tempoh 11 hari apabila paras air melepasi paras bahaya selepas hujan lebat pada pagi Rabu.
Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa kawasan di Selangor, termasuk daerah Petaling tempat kampung itu terletak, pada pukul 6 pagi. Tiga jam kemudian, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras air 18.11 meter dari aras laut, melebihi paras bahaya 17.4 meter ketika itu.
Pada pukul 10.45 pagi, paras air menurun kepada 16.92 meter, sedikit melebihi paras amaran 16.9 meter.
Penduduk berkongsi pengalaman mereka di Threads. Seorang pengguna, @__nrdynaa, merungut kampung itu terdedah kepada banjir. "Empat kali banjir dalam dua minggu! Tahun ini yang paling teruk dalam sejarah," katanya.
Pengguna lain, @faezprop2u, mempersoalkan punca kampung itu kerap dilanda banjir. "Bila tak hujan pun, air terus naik. Menakutkan untuk keluar rumah pun," katanya.
Sementara itu, @zurintahir memuat naik video selepas menghantar anaknya ke sekolah, memaparkan jalan yang banjir dan dilalui pemandu. Beliau meluahkan kebimbangan terhadap pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Video yang dimuat naik @inaabdulaziz dan @jannahseri pula menunjukkan rumah ditenggelami air hampir paras lutut penduduk.
Walau bagaimanapun, pengguna @nothingbhtthetruth berkata beliau teragak-agak meninggalkan kampung itu untuk selamanya demi mengelak banjir, dan mahu terus kekal membantu keadaan semasa. "Saya perlu berada di sini lebih lama untuk pastikan semuanya terkawal. Kampung Melayu Subang ialah tempat saya membesar," katanya.
Kampung Melayu Subang antara kawasan paling teruk terjejas apabila banjir kilat melanda beberapa bahagian Lembah Klang pada 2 November, dengan paras air melebihi paras bahaya sebanyak 1.37 meter. Kira-kira 92 rumah dianggarkan ditenggelami air ketika itu.
Foto: Richard Sutcliffe / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




