Kerajaan Johor lapor polis dan MCMC terhadap akaun media sosial palsu sebar dakwaan projek

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap beberapa akaun media sosial yang mencurigakan, yang menyiarkan dakwaan dan tuduhan berunsur fitnah mengenai projek pembangunan serta kemudahan awam di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kesahihan akaun berkenaan, kandungan yang disebarkan dan sama ada wujud kegiatan yang diselaraskan.
Menurutnya, banyak hantaran itu menggunakan ayat dan naratif yang hampir serupa, selain mendakwa wujud projek bernilai ratusan juta ringgit dengan menyebut nama syarikat yang kelihatan pelik dan meragukan. Kebanyakan akaun terbabit juga tidak mempunyai pengikut.
“Saya sentiasa terbuka kepada kritikan dan aduan rakyat Johor, yang semuanya akan disemak dan diambil tindakan. Namun, jika ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka cerita atau menyebarkan maklumat palsu bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
Onn Hafiz turut menyatakan harapan agar ahli politik mengekalkan budaya politik yang matang dan bertanggungjawab, terutamanya ketika musim pilihan raya.
“Kita boleh berbeza pendapat, saling mengkritik dan tidak bersetuju, tetapi perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebar fitnah atau mengelirukan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati serta menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.




