Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

Mahkamah Rayuan benar Rosli Dahlan mulakan semakan kehakiman rampasan akaun ASNB

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membenarkan peguam Rosli Dahlan memulakan semakan kehakiman bagi mencabar rampasan empat akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) miliknya oleh polis dan pihak pendakwaan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Dr Choo Kah Sing, Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar sebulat suara membenarkan rayuan Rosli untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenarannya.

Mahkamah memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh berhubung merit di hadapan hakim atau pesuruhjaya kehakiman yang berbeza.

Menyampaikan keputusan panel, Hakim Choo berkata Mahkamah Tinggi tersilap apabila menolak permohonan kebenaran itu. Menurut beliau, hakim terbabit menggunakan tahap penelitian yang lebih sesuai untuk perbicaraan substantif berbanding permohonan kebenaran.

Hakim Choo turut berkata Rosli telah menunjukkan kes yang prima facie boleh dihujahkan bahawa perintah rampasan itu mungkin terjejas oleh niat jahat, tujuan sampingan, ketidakmunasabahan atau salah guna kuasa.

“Sama ada dakwaan itu akhirnya dapat dibuktikan atau tidak adalah perkara untuk perbicaraan substantif. Hakim Mahkamah Tinggi oleh itu tersilap dalam menolak kebenaran pada peringkat awal ini,” katanya.

Peguam Rosli, Harvinderjit Singh, mengesahkan keputusan itu apabila dihubungi pada Khamis.

Pada 14 Ogos 2024, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang kini Ketua Hakim Negara, menolak permohonan Rosli untuk memulakan semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan yang difailkan pada Disember 2023, Rosli menamakan beberapa responden, termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ketika itu, Datuk Seri Ramli Mohammed Yoosuf, Polis Diraja Malaysia, bekas Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, timbalan pendakwa raya, Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi, dan kerajaan Malaysia.

Antara lain, Rosli memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden yang mengeluarkan atau menyebabkan pengeluaran perintah rampasan di bawah Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

TopikRosli DahlanASNBMahkamah Rayuansemakan kehakimanAMLA

Berita berkaitan