Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

MySiren dilancar, ujian amaran serentak seluruh negara 29 November

KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal Kebangsaan secara rasmi diperkenalkan sebagai MySiren apabila dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di bangunan Parlimen hari ini.

Ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan pada 10.10 pagi, 29 November ini.

MySiren yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggunakan teknologi Sistem Siaran Sel (CBS) untuk menghantar amaran terus ke telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi tertentu. Pengguna tidak perlu memasang aplikasi atau mendaftar.

Fahmi berkata sistem itu tidak mengakses sebarang data peribadi pemilik peranti dan hanya menghantar notifikasi. "Sistem yang digunakan tidak mengambil sebarang maklumat atau data daripada peranti pengguna. Ia juga tidak mengenakan sebarang kos kepada penerima mesej," katanya pada sidang media selepas pelancaran itu.

Menurut beliau, MySiren berbeza daripada kaedah SMS kerana mesej SMS perlu melalui giliran yang diurus syarikat telekomunikasi. MySiren pula memintas syarikat telekomunikasi dan terus ke pemancar, dengan semua menara telekomunikasi boleh berfungsi sebagai pemancar mesej amaran bencana.

"Jadi, semua pengguna dalam kawasan liputan menara telekomunikasi atau pemancar yang aktif akan menerima maklumat sama pada masa yang sama," katanya. Amaran boleh disampaikan dalam masa kurang satu minit, berbanding SMS pukal yang mungkin mengambil masa sehingga sejam atau lebih.

MCMC kekal bertanggungjawab mengendalikan sistem itu, manakala pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut boleh mengakses MySiren.

Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada notifikasi banjir, tanah runtuh dan bencana alam. Fahmi berkata ia akan diperluas kepada maklumat lain, termasuk kebakaran, kehilangan orang atau kanak-kanak serta perkara berkaitan bencana yang melibatkan pihak berkuasa tempatan.

Pembangunan MySiren bermula tahun lalu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan inisiatif itu ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan jumlah kos RM200 juta.

MCMC dalam kenyataan berkata, simulasi sistem turut dijalankan di bangunan Parlimen hari ini bagi menguji keupayaan menghantar mesej disertai bunyi amaran terus ke telefon serasi dalam kawasan ditetapkan. Simulasi itu menyusuli ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya, pada 19 November.

Orang ramai dinasihatkan mengemas kini telefon kepada sistem pengendalian terkini, iaitu sekurang-kurangnya iOS 27.2 bagi iPhone 11 dan model lebih baharu, Android 12 bagi telefon Android dan EMUI 16 bagi Huawei. Tetapan amaran kecemasan seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA) juga perlu diaktifkan.

MCMC menjelaskan penerimaan amaran bergantung pada kesesuaian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian 4G atau 5G.

Dalam pada itu, Fahmi semalam berkata pengguna yang telefonnya tidak memenuhi spesifikasi minimum tidak akan ketinggalan. Sistem notifikasi SMS yang dikendalikan Nadma masih ada dan sistem amaran awal itu hanya melengkapi, bukan menggantikan, mekanisme sedia ada.

Menurut soalan lazim MCMC, agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh mengeluarkan amaran bagi ancaman serius dan mendesak terhadap nyawa, kesihatan, keselamatan atau harta benda, seperti cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar dan insiden bahan berbahaya. Orang ramai dinasihatkan bertenang, membaca keseluruhan mesej dan mengikut arahan dengan segera apabila menerima amaran.

TopikMySirenMCMCFahmi FadzilSistem Amaran AwalNadma

Berita berkaitan