Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

Peruntukan Ahli Parlimen pembangkang tandatangan CSA disalur selepas Belanjawan 2027 diluluskan – Anwar

KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan Madani akan disalurkan sebaik sahaja Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 diluluskan Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan 2027 yang lulus peringkat dasar pada Khamis dijangka diluluskan sepenuhnya menjelang akhir tahun. Penyaluran peruntukan itu akan mengikut jadual Belanjawan yang kini berada di peringkat perbahasan jawatankuasa.

"Sebaik sahaja diluluskan Parlimen, kami boleh menyalurkan peruntukan mengikut perjanjian," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Muqarabin, Bandar Tasik Selatan, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Bersatu bersetuju menyokong Belanjawan 2027 sebagai balasan kepada peruntukan pembangunan kawasan yang sama rata untuk Ahli Parlimennya menerusi CSA yang dimeterai dengan kerajaan Madani.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang dilindungi perjanjian itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Mohd Suhaimi (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai). Perjanjian itu turut ditandatangani enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti pada 2024 selepas mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan, serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Anwar berkata, pengaturan itu berasaskan persefahaman bersama dan bukan sesuatu yang janggal kerana perjanjian serupa pernah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Prinsipnya sama seperti ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang dan berunding dengan kerajaan ketika itu yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu.

"Peruntukan itu mengikat pada satu persefahaman seperti mana dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional semasa mereka berkuasa. Saya ketika itu selaku Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau menjelaskan peruntukan Parlimen selama ini disalurkan seperti biasa kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, manakala peruntukan pembangunan kawasan melalui Ahli Parlimen terikat dengan perjanjian sedemikian. Menurutnya, dakwaan bahawa kerajaan menyekat peruntukan itu tidak benar.

"Tiada apa yang luar biasa. Saya sentiasa mengatakan bahawa jika ada persefahaman bersama, kami akan lulus. Ini perkembangan positif kerana mereka menyatakan persetujuan semalam. Ia terbuka kepada sesiapa yang mahu bersetuju dengan mekanisme sama yang digunakan sebelum ini," katanya.

Mengulas pandangan penganalisis bahawa CSA boleh menjadi peringatan kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan supaya tidak menarik sokongan, Anwar berkata tafsiran sedemikian tidak dapat dielakkan. Katanya, persefahaman seperti itu lazim di banyak negara demokrasi, dan di Malaysia rundingan turut berlaku semasa kerajaan terdahulu.

"Semua orang tahu ahli jawatankuasa yang berunding bagi pihak Pakatan Harapan dan kerajaan ketika itu terdiri daripada wakil Bersatu, Pas, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Ditanya sama ada CSA akan diperluas kepada Ahli Parlimen pembangkang lain, Anwar berkata tiada syarat dikenakan terhadap mereka yang mahu mencapai persefahaman yang sama.

TopikAnwar IbrahimCSABelanjawan 2027Bersatu

Berita berkaitan