Polis tahan 11 warga Thailand disyaki dalang sindiket penipuan dalam talian di Melaka

MELAKA: Polis menahan 11 warga Thailand dalam serbuan di sebuah bangunan yang dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian di Taman Kota Shahbandar di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas, berkata suspek terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita berusia antara 18 dan 36 tahun, ditahan dalam operasi kira-kira 10.10 malam pada 10 November.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula beroperasi pada awal Oktober dan menggunakan modus operandi menyamar sebagai agensi penguat kuasa undang-undang untuk menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Thailand.
"Siasatan awal juga mendapati kesemua suspek didakwa belum menerima sebarang gaji sepanjang penglibatan mereka dalam aktiviti itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Polis turut merampas 11 komputer riba, 11 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah penghala internet yang dipercayai digunakan dalam penipuan itu, dengan nilai anggaran RM20,000.
Halim berkata, kesemua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.




