PRN Sarawak: Anwar tegas bekerjasama dengan GPS, bukan tunduk kepada ugutan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau tunduk kepada dakwaan ugutan Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya PKR tidak bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak.
"Saya bekerjasama (dengan GPS), bukan tunduk," kata Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR, kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di sini hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang menggambarkan keputusan PKR Sarawak untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri itu sebagai tindakan Anwar mengalah kepada ugutan gabungan pemerintah GPS.
Pada Ahad lalu, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Openg mempersoalkan mengapa parti yang mendapat manfaat daripada sokongan gabungan itu dalam membentuk Kerajaan Persekutuan mahu mencabarnya dalam pilihan raya negeri.




