Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

PRN Sarawak: Kemenangan besar GPS bawa kestabilan, tetapi sapu bersih boleh lemahkan semak dan imbang – pakar

KUCHING: Kemenangan kukuh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri akan datang berupaya membawa kemajuan ekonomi dan kestabilan politik, namun kemenangan sapu bersih boleh melemahkan mekanisme semak dan imbang, kata beberapa pakar.

Pemerhati politik Datuk Peter Minos berkata, ekonomi Sarawak boleh terus berkembang sekiranya GPS memperoleh kemenangan yang meyakinkan, sekali gus membuka jalan kepada lebih banyak jalan raya, jambatan dan prasarana awam, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.

Menurut beliau, kestabilan politik dan keharmonian sosial juga akan diperkukuh, selain membantu memastikan Sarawak bebas daripada ekstremisme kaum dan agama.

“Jika GPS menang dengan baik, ia akan menunjukkan kepada semua parti politik di Malaysia bahawa kesederhanaan, kewajaran dan niat baik boleh menang. Tidak perlu bersikap ekstrem atau kasar dalam politik kerana kita semua rakyat Malaysia dan saling memerlukan, semasa dan selepas pilihan raya,” katanya.

Pandangan serupa dikongsi Pengerusi kumpulan masyarakat sivil The Sarawak Initiatives, Datuk John Tenewi Nuek, yang berkata negeri ini boleh terus menikmati kestabilan politik, kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan keterangkuman jika GPS kekal berkuasa.

Beliau berkata pilihan raya kali ini penting kerana akan menentukan sama ada kerajaan sedia ada terus mendapat mandat dan sokongan rakyat, serta asas moral untuk memerintah.

Bagaimanapun, Prof Datuk Dr Jayum Jawan memberi amaran bahawa kemenangan sapu bersih GPS adalah prospek yang “menakutkan”.

“Kuasa cenderung merosakkan; kuasa mutlak merosakkan secara mutlak. Tidak boleh ada semak dan imbang apabila semua penggubal undang-undang bertanggungjawab kepada seorang individu yang lebih atas,” katanya.

Felo Akademi Sains Malaysia itu turut mengingatkan bahawa mandat yang terlalu besar boleh menjadikan parti pemerintah angkuh dan tidak responsif terhadap keperluan serta kebimbangan rakyat.

Menurutnya, wakil rakyat daripada pelbagai parti komponen didapati kurang mewakili keperluan kawasan masing-masing. “Kebanyakannya bersedia menggembirakan pihak atasan berbanding menyuarakan kepentingan, kebimbangan dan isu sebenar yang membelenggu kawasan mereka,” katanya.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Sarawak, Parti Progresif Demokratik dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Dalam pilihan raya negeri 2021, gabungan itu menang 76 daripada 82 kerusi, manakala empat kerusi dimenangi Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang kini telah dibubarkan dan dua lagi oleh DAP.

Barisan GPS kemudian diperkukuh apabila tiga Adun PSB menyertai PDP selepas parti itu dibubarkan pada 2024, manakala seorang lagi keluar menjadi calon Bebas yang cenderung menyokong GPS. Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober, membuka jalan kepada pilihan raya negeri ke-13.

Mengenai usaha menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Minos dan John berpendapat mandat kuat kepada GPS akan memperkukuh perjuangan tersebut.

“Untuk hubungan yang lebih baik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, amat penting isu MA63 diselesaikan sekali dan untuk selama-lamanya. Diharapkan ini dapat dilakukan selepas pilihan raya negeri,” kata Minos.

John pula berkata GPS berkemungkinan lebih bersungguh-sungguh menuntut hak Sarawak jika dikembalikan ke tampuk pemerintahan. “Ia mungkin akan terus berunding untuk apa yang menjadi hak kami,” katanya.

Namun, Jayum berpendapat kerajaan negeri yang kuat tidak semestinya mempunyai kuasa tawar-menawar lebih besar untuk menuntut semula hak MA63. Menurutnya, negeri ini masih belum memperoleh konsesi kekal daripada pentadbiran semasa walaupun menjadi sekutu politik utama.

TopikGPSPRN SarawakSarawakMA63

Berita berkaitan