Jumaat, 27 November 2026
TERKINI
Nvidia dilapor sekat penghantaran pelayan AI ke Malaysia, Singapura, Thailand dan IndonesiaNUTP gesa kerajaan beri insentif lebih baik supaya guru sanggup berkhidmat di luar bandarSembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakan

Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun

PETALING JAYA: Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said, lebih dikenali sebagai Pak Samad, meninggal dunia pada usia 91 tahun pada jam 6.10 petang Selasa.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan anaknya menerusi media sosial. "6.10. Innalillahiwainnailaihirojiun," tulis anak Allahyarham dalam hantaran di Threads.

Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke wad pada petang Isnin. Sebelum itu, anaknya memaklumkan keadaan kesihatan Allahyarham tidak begitu baik akibat sakit tua dan Allahyarham turut menghidap diabetes. Menurut satu laporan, Allahyarham dirawat kerana jangkitan paru-paru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mendoakan melalui Facebook agar Allahyarham segera sembuh.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menzahirkan ucapan takziah dan memetik bait puisi Allahyarham daripada karya Kita Ini Tetamu Senja: "Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya."

"Hari ini, bait itu kita baca dengan rasa kehilangan. Terima kasih, Pak Samad, kerana mengajar kita mencintai bahasa dan berani bersuara untuk mereka yang jarang didengari," katanya.

Allahyarham dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, dan dibesarkan di Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution. Salah satu cerpen terawal beliau, "Hari Ini Hari Gembira", ditulis pada Oktober 1954.

Pada 1956, Allahyarham lulus peperiksaan Senior Cambridge dan bekerja sebagai kerani di Hospital Besar Singapura. Beliau kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur sebagai wartawan akhbar Fikiran Rakyat, sebelum kembali ke Singapura bekerja dengan Utusan Zaman di bawah kumpulan Utusan yang dipimpin Usman Awang.

Apabila syarikat itu berpindah ke Kuala Lumpur, Allahyarham membantu Usman Awang menguruskan majalah Mastika. Beliau kemudian menjadi ketua pembangunan sastera di New Straits Times. Pada 1987, Allahyarham meninggalkan jawatan editorial di Berita Harian untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penulisan esei dan puisi.

Allahyarham menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985. Antara karya terkenalnya ialah novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.

Selain bergiat dalam sastera, Allahyarham turut aktif dalam gerakan sosial dan politik. Beliau memainkan peranan penting dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI pada 2009 yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, serta menyertai perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 yang menuntut pembaharuan pilihan raya.

TopikA Samad SaidSasterawan NegaraPak SamadHospital Kuala Lumpur

Berita berkaitan