Tiada 'Abang Long' dalam rundingan PN-BN, kata Ahmad Samsuri

DUNGUN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan bahawa sebarang rundingan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) mesti dilaksanakan atas prinsip kesetaraan, tanpa mana-mana pihak bertindak sebagai 'Abang Long'.
Beliau berkata sikap saling menghormati dan mengambil kira kehendak semua pihak merupakan asas utama jika kedua-dua gabungan mahu membina muafakat politik yang kukuh.
"Tidak ada 'Abang Long'. Awal-awal lagi saya pernah sebut kepada rakan-rakan yang kita runding, tidak ada istilah 'Abang Long' dalam perbincangan dan perundingan. Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang," katanya.
Menurut Ahmad Samsuri, PN tidak boleh menjadi satu-satunya pihak yang diminta mengalah. "Jangan minta kita sahaja dalam PN untuk berjiwa besar. Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar," katanya.
Beliau berucap sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Arena Square di sini pada malam Khamis.
Kerjasama BN dan PN sebelum ini melengkapkan kejayaan 'hatrik' tiga kemenangan berturut-turut dalam pilihan raya negeri, selepas memenangi PRN Melaka ke-16 pada 14 November, berikutan kejayaan di Johor pada Julai dan Negeri Sembilan pada Ogos.
Menteri Besar Terengganu itu turut menyatakan bahawa peraturan dan prinsip dalam kerjasama politik perlu konsisten dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya mengikut selera pihak tertentu.
Beliau menyifatkan tindakan mengubah syarat pada saat akhir ibarat menukar undang-undang permainan bola sepak ketika perlawanan sedang berlangsung.
"Kalau kita bermain bola, dah pakai jersi hendak main bola. Bila dia tengok pasukan kita itu main hebat, tiba-tiba ubah undang-undang pertandingan. Tak kena dan tak aci kita hendak main ubah-ubah pada saat akhir," katanya.
"Undang-undang di negeri Melaka, kita gunakan undang-undang itulah juga, prinsip itulah juga di tempat-tempat yang lain. Itulah asas kebersamaan," tegasnya.




