Sekurang-kurangnya 22 cedera apabila feri ke Shenzhen langgar dok terapung di Hong Kong

HONG KONG: Sekurang-kurangnya 22 orang cedera, dua daripadanya dalam keadaan kritikal, apabila sebuah feri penumpang menuju Shenzhen berlanggar dengan sebuah dok terapung di Hong Kong pada pagi Jumaat.
Menurut laporan yang memetik polis Hong Kong, antara yang cedera ialah dua lelaki dan seorang budak lelaki dari tanah besar China. Jumlah yang cedera kemudian dilaporkan meningkat kepada 24 orang.
Feri bernama Xin Xun Long Er Hao itu bertolak dari Terminal Feri Hong Kong-Macau di Sheung Wan pada pukul 9 pagi dengan membawa 35 penumpang dan 11 anak kapal.
Seorang sumber dipetik berkata, nakhoda didakwa hilang kawalan terhadap kapal selepas kemudi mengalami kerosakan, lalu menyebabkan feri itu merempuh dok terapung sepanjang 289 meter berhampiran depoh minyak Tsing Yi.
"Badan feri itu terhentak pada dok terapung, menyebabkan impak yang kuat dan mencederakan penumpang," kata sumber berkenaan.
Perkhidmatan kecemasan menerima laporan kemalangan itu pada pukul 9.25 pagi dan mengerahkan sebuah bot bomba serta 15 ambulans ke lokasi. Pekerja limbungan menunda feri yang rosak itu ke jeti Yiu Lian Dockyards di Jalan Tsing Yi, tempat pegawai paramedik merawat mangsa.
Polis memaklumkan mangsa mengalami kecederaan di kepala, lengan dan bahu, manakala sebahagian dilaporkan patah tulang. Mereka dihantar ke Hospital Princess Margaret di Kwai Chung dan Hospital Yan Chai di Tsuen Wan.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kemalangan itu.
Kejadian terbaru ini merupakan perlanggaran kedua tahun ini yang melibatkan kapal di bawah syarikat induk Chu Kong Shipping Enterprises. Pada 11 Mei lalu, sebuah feri ke Mui Wo melanggar benteng pelindung taufan tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan.




